Sunday, 1 August 2021

updated 2:02 AM UTC, Aug 1, 2021

Pingat emas pertama Olimpik mampu dicapai

  • Published in Sukan

SEPANG, 18 Julai - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin atlet Malaysia yang akan beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 mampu membawa pulang kilauan pingat emas pertama buat negara.

Menurut beliau, perkara itu tidak mustahil jika melihat kepada keazaman dan kesungguhan yang ditampilkan mereka meskipun berdepan kesukaran ketika pandemik COVID-19.

Menurut Tan Sri Muhyiddin, atlet negara tetap kekal fokus terhadap temasya Tokyo 2020 meskipun persiapan mereka terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, Perdana Menteri melaungkan keyakinan bahawa barisan atlet kali ini adalah yang terbaik dan mampu menyinar di Tokyo nanti.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan pelepasan kontinjen Malaysia ke Tokyo 2020 yang terdiri daripada 18 atlet serta 22 orang jurulatih dan pegawai.

Mereka terdiri daripada atlet sukan badminton, gimnastik, terjun, renang dan memanah.

Kumpulan atlet itu merupakan kumpulan kedua yang bergerak ke Jepun selepas atlet pelayaran pada 8 Julai lalu.