Logo

'Gelombang Selamat' tambah keyakinan atlet

SEPANG, 13 Julai - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yakin pelaksanaan 'Gelombang Selamat' dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) mampu menjamin keselamatan atlet-atlet negara yang akan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo bulan ini.

Menurut Datuk Seri Reezal Merican, langkah dan prosedur yang komprehensif oleh MAHB dan MAG dapat mengekang kemungkinan penularan COVID-19 dalam kalangan atlet dan pengurusan yang akan ke Tokyo.

Jelas beliau, apa yang penting ketika ini adalah aspek keselamatan dan kesihatan kepada seluruh kontinjen negara.

Datuk Seri Reezal turut berharap langkah seperti ini dapat menambah keyakinan kepada atlet negara untuk bertanding di Sukan Olimpik nanti.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan pelaksanaan 'Gelembung Selamat' di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, KLIA.

Sementara itu, Datuk Seri Reezal turut berkata pihak Kementerian Belia dan Sukan komited untuk melakukan apa sahaja cara bagi memastikan keselamatan atlet-atlet Malaysia di Tokyo terjamin.

Setibanya kontinjen negara di Tokyo, mereka akan menjalani prosedur Gelembung Sukan yang bakal dipantau secara rapi oleh Majlis Sukan Negara sehingga temasya Olimpik berakhir.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.