Sunday, 1 August 2021

updated 2:02 AM UTC, Aug 1, 2021

Agong zahir ucapan tahniah kepada kontinjen negara

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 7 Julai - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet negara atas kejayaan melayakkan diri untuk bersaing di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar atlet negara dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka bagi menjulang nama Malaysia di persada tertinggi dunia itu.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan harapan agar atlet dan pegawai sentiasa berwaspada dalam menjaga kesihatan diri ketika berada di kedua-dua temasya yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos bagi Sukan Olimpik dan 24 Ogos hingga 5 September depan, bagi Sukan Paralimpik.

Menerusi hantaran sama, Seri Paduka telah berkenan menerima menghadap Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Istana Negara.

Pada sesi menghadap ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Datuk Seri Reezal Merican sebagai tanda simbolik penerimaan bagi pihak kontinjen negara yang akan bertanding di kedua-dua temasya.

Turut hadir Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharuddin.

Pada sesi sama, Seri Paduka turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai persediaan dan penyertaan kontinjen negara di kedua-dua temasya tersebut.