Wednesday, 23 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Beri peluang De Paula 'tunjuk taring'

  • Published in Sukan

DUBAI, 5 Jun - Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berpendapat penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula wajar diberi peluang untuk membuktikan kemampuan sebenarnya meskipun gagal meledak sebarang gol pada pertemuan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

De Paula sebelum ini dikritik hebat oleh penyokong bola sepak tanah air selepas gagal menepati jangkaan ketika skuad negara tewas 0-4 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

Menurut Cheng Hoe, pertemuan dengan UAE adalah penampilan penuh pertama De Paula bersama Harimau Malaya dan pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu diberi peluang sepanjang 90 minit permainan kerana percaya dia mampu menjaringkan gol penyamaan.

Cheng Hoe turut meminta peminat negara tidak menyalahkan mana-mana pemain di atas kekalahan semalam sebaliknya perlu bersikap rasional dengan mengambil kira tahap persiapan yang dilakukan dalam tempoh yang singkat.

Cabaran Cheng Hoe kini adalah memastikan mental dan fizikal pemain negara tidak terjejas dengan kekalahan tersebut menjelang dua aksi 'wajib menang' dengan Vietnam dan Thailand.

Kekalahan semalam menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga keempat Kumpulan G, terikat sembilan mata bersama UAE yang naik ke tangga kedua dan Thailand di tangga ketiga berdasarkan perbezaan gol.

Skuad negara dijadual menentang Vietnam pada Sabtu depan dan menamatkan kempen dengan Thailand pada 16 Jun.