Logo

Harimau Malaya mahu padam 'igauan buruk' tahun 2015

DUBAI, 3 Jun - Menjelang pertemuan Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tengah malam ini.

Setelah hampir enam tahun, skuad Harimau Malaya berpeluang untuk memadam igauan ngeri dalam arena bola sepak negara ketika tewas 10-0 kepada UAE pada September 2015.

Kali ini, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kembali dengan kekuatan berbeza dan turun dengan misi menebus maruah apabila berdepan tuan rumah dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai, tengah malam ini.

Aksi Kumpulan G itu bakal menyaksikan Malaysia buat kali pertama bertandang ke UAE sejak skuad yang ketika itu dikendalikan oleh Dollah Salleh diaibkan dengan jaringan yang besar.

Bagaimanapun, episod sebaliknya mungkin boleh berlaku apabila skuad Harimau Malaya kini melalui revolusi besar-besaran dan diperkuat dengan kehadiran pemain berdarah kacukan serta naturalisasi.

Di atas kertas, ranking jelas menunjukkan jurang besar antara Malaysia yang berada di kedudukan ke-153 dunia dengan UAE di tangga ke-73.

Rekod turut tidak memihak kepada skuad kebangsaan sepanjang 14 pertemuan sejak 1980 dengan Malaysia hanya menang 3 perlawanan, tewas 9 kali dan seri 2 kali.

Atas kertas, jelas menunjukkan pertembungan epik bakal memihak kepada UAE namun ia boleh menjadi azimat buat pemain negara untuk menamatkan badi kekalahan sejak kali terakhir menang 2-1 ke atas mereka di Pestabola Merdeka 1982.

Selepas mengharungi lima aksi kumpulan, kejayaan meraih tiga mata ke atas UAE akan mencerahkan peluang Malaysia di kedudukan kedua memberi tekanan ke atas pendahulu, Vietnam.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.