Wednesday, 23 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Masih banyak ruang untuk diperbaiki

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 26 Mei - 'Masih banyak ruang untuk diperbaiki.'

Itu pandangan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann terhadap barisan pemain remaja negara yang meraih dua gelaran di Kejohanan Badminton Antarabangsa Slovenia 2021, Sabtu lepas.

Beliau mengingatkan agar mereka tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian yang dilakar di kejohanan tersebut.

Choong Hann berkata, pujian harus diberikan kepada barisan pemain tersebut kerana berjaya mengotakan janji membawa pulang kemenangan di Slovenia.

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan bahawa pemain muda negara memiliki semangat juang tinggi dan mampu menjadi pelapis yang berkualiti kepada pemain senior pada masa hadapan.

Pada kejohanan tersebut, beregu campuran Choong Hon Jian-Toh Ee Wei, masing-masing berusia 20 tahun, meraih gelaran juara apabila menewaskan pasangan Indonesia.

Ia adalah kejuaraan antarabangsa kedua bagi pasangan ranking ke-263 dunia itu setelah memenangi Terbuka Poland pada penampilan sulung mereka, Mac lepas.

Low Yeen Yuan-Valeree Siow kemudian melakar kejayaan berganda buat Malaysia apabila merangkul gelaran beregu wanita.

Pasangan bukan pilihan berusia 19 tahun itu, mengejutkan pilihan ketiga dari Denmark untuk mendakap gelaran antarabangsa pertama mereka.

Selain dua kejayaan itu, pemain muda lain turut mempamerkan prestasi membanggakan walaupun gagal melayakkan diri ke final.

Selepas ini, pemain muda negara akan turun beraksi pada Terbuka Austria yang dijadual bermula esok hingga 30 Mei.