Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Tiada kompromi terhadap isu gangguan seksual dalam sukan

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 26 Mei - Tiada kompromi terhadap isu gangguan seksual dalam sukan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan, pihaknya dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan memberikan sokongan penuh dan memperkasa platform kepada atlet dan pegawai untuk tampil membuat laporan jika berlaku insiden salah laku dan gangguan seksual.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merica Naina Merican berkata, laporan boleh dibuat menerusi Jawatankuasa Perwakilan Atlet MSN, Jawatankuasa Salah Laku dan Gangguan Dalam Sukan MSN dan juga Suruhanjaya Atlet di bawah Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau, Datuk Seri Reezal amat memandang serius pengalaman gangguan seksual yang dilalui bekas atlet renang negara, Cindy Ong suatu ketika dulu.

Beliau menegaskan gangguan sebegini tidak seharusnya berlaku terhadap mana-mana atlet negara.

Setiap atlet dan pegawai katanya, harus berada dalam suasana yang selamat di dalam pusat latihan kebangsaan.

Tambahnya, KBS akan terus menyokong inisiatif untuk memastikan isu gangguan seksual dalam kalangan atlet dan bakal atlet dapat ditangani secara menyeluruh.