Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Atletico Madrid, 'raja' baharu La Liga

  • Published in Sukan

VALLADOLID, 23 Mei - Selepas tujuh tahun, Atletico Madrid kembali merangkul gelaran juara La Liga.

Ia diperoleh pada aksi terakhir liga dengan mengatasi Real Valladolid 2-1.

Kota Madrid ditenggelami 'gelombang' merah putih apabila penyokong Atletico membanjiri jalan raya utama untuk meraikan kejuaraan La Liga pertama yang dimenangi kelab itu selepas 2014.

Ia bagaimana pun tidak dicapai dengan mudah meskipun skuad Rojiblancos beraksi konsisten pada awal musim dan memiliki kelebihan lebih 10 mata pada pertengahan musim.

Keciciran mata pada beberapa minggu terakhir menyaksikan penentuan juara ditentukan pada aksi terakhir liga.

Pada perlawanan di Stadium José Zorrilla itu, Valladolid terlebih dahulu di depan pada minit ke-18 menerusi pemain tengah, Oscar Plano.

Di babak kedua, Atletico bangkit menyamakan kedudukan hasil rembatan leret penyerang Argentina, Angel Correa pada minit ke-57.

10 minit berselang Luis Suarez berjaya menyumbat gol kemenangan pasukan melalui larian solo pada minit ke-67.

Atletico Madrid merangkul gelaran La Liga ke-11 dalam sejarah kelab itu selepas menamatkan liga dengan 86 mata, dua mata di depan Real Madrid dan tujuh mata di depan Barcelona.

Sevilla di kedudukan keempat melengkapkan senarai empat pasukan dari Sepanyol bagi saingan Liga Juara Eropah musim depan.