Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Malaysia tuan rumah Kejohanan Skuasy Lelaki Berpasukan Dunia 2021

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 21 Mei - Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Skuasy Lelaki Berpasukan Dunia Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) 2021.

Ia dijadual berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil pada 7 hingga 11 Disember ini.

Kali terakhir Malaysia menganjurkannya adalah pada 1997.

Kejohanan dunia itu pada asalnya dijadualkan di Tauranga, New Zealand.

Namun, ia terpaksa dipindahkan disebabkan sekatan perjalanan yang ketat di negara itu bagi mengekang penularan COVID-19.

Menurut pengumuman WSF di laman sesawangnya, ia juga merupakan kejohanan pertama diadakan di Asia sejak edisi 2007 di Chennai, India.

Presiden WSF, Zena Wooldridge dalam kenyataannya berkata, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mempunyai kedudukan yang baik dalam menganjurkan kejohanan utama skuasy dan ia menjadi faktor utama pemilihan Malaysia sebagai pengganti.

Malaysia telah menyertai Kejohanan Skuasy Lelaki Berpasukan Dunia sebanyak 18 kali sejak 1979 dan pencapaian terbaik skuad negara adalah tempat kelima pada edisi 2005 dan 2011.