Wednesday, 23 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

ASTAF singkir PSM, beri tempoh 14 hari buat rayuan

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 21 Mei - Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) memutuskan untuk menyingkirkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) daripada pertubuhan itu serta merta.

Pengerusi Panel Displin ASTAF, Yogender Singh Dahiya dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar pertuduhan yang dibuat oleh pendakwa dilantik ASTAF diketuai oleh John Vasavan.

Menurut Yogender Singh, ASTAF terpaksa membuat keputusan itu demi kepentingan sukan sepak takraw dan menghantar peringatan kepada keluarga sukan yang lain bahawa kelakuan tidak bertanggungjawab tidak seharusnya dibiarkan berlaku.

Bagaimanapun beliau berkata, PSM masih diberi tempoh 14 hari untuk merayu terhadap pertuduhan dan hukuman tersebut.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan PSM dijatuhkan hukuman sebagai bersalah dan dibuang serta merta.

PSM sebelum ini didakwa atas surat yang dikeluarkan Presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail bertarikh 24 Februari dan dihantar atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF kepada Lembaga Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Yogender Singh berkata, PSM bersalah kerana melanggar perjanjian bertulis yang diberi kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF pada 14 Mac 2008 iaitu menyokong kedua-dua badan berkenaan.

Pada 5 Mei, Ismail yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ telah digantung 15 tahun dalam semua peringkat aktiviti sepak takraw bermula 6 Mei oleh Panel Displin ASTAF.