Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Tiada kelibat pemain badminton Israel sertai Terbuka Malaysia

  • Published in Sukan

PUTRAJAYA, 15 Mei - Tiada pasangan daripada Israel yang dibenar beraksi pada Kejohanan Terbuka Malaysia.

Demikian tegas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai desas-desus mengenai penyertaan pasangan dari Israel, Misha Zilberman-Svetlana Zilberman dalam Kejohanan berkenaan.

Dakwaan itu tular di media sosial apabila seorang peminat badminton bertanyakan soalan itu kepada Reezal Merican menerusi laman sosial media Twitter.

Persoalan itu diajukan beserta dengan jadual perlawanan Persekutuan Badminton Dunia (IBF) yang menunjukkan pasangan dari Israel itu berada dalam undian beregu campuran bersama beberapa negara lain.

Reezal Merican bagaimanapun membuat 'Twit semula' ciapan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menjawab bahawa undian kejohanan yang tersebar itu tidak pernah diluluskan kerajaan sejajar dengan polisi negara Malaysia.

Menurut BAM, Malaysia mengecam dan menolak sebarang kekejaman rejim Israel terhadap Palestin dan tidak mempunyai apa-apa hubungan diplomatik dengan negara tersebut.

Kejohanan Terbuka Malaysia yang sepatutnya berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil hujung Mei ini telah ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan.