Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Liverpool berjuang buru tempat ke Liga Juara-Juara Eropah

  • Published in Sukan

MANCHESTER, 14 Mei - Liverpool mencerahkan semula peluang mereka untuk layak ke kempen Liga Juara-Juara Eropah musim depan selepas menewaskan Manchester United 4-2 di Old Trafford awal pagi tadi.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu bagaimanapun masih perlu menang kesemua baki tiga perlawanan musim ini untuk menjamin tempat empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris.

Ini kejayaan pertama Liverpool ke atas United di Old Trafford sejak musim 2014.

Pada aksi tersebut, penyerang Brazil, Roberto Firmino meledakkan dua gol selepas jaringan Diego Jota memadamkan gol pendahuluan United menerusi Bruno Fernandes di babak pertama.

Bintang England, Marcus Rashford kemudian cuba mengurangkan defisit jaringan namun Mohamed Salah melengkapkan malam gemilang The Reds pada hujung permainan, sekali gus melonjakkan pasukannya ke tangga kelima.

Ini kekalahan kedua berturut-turut United selepas tewas 1-2 kepada Leicester City kelmarin namun The Red Devils masih kekal di tangga kedua dengan 70 mata.

Manakala, Liverpool naik ke tangga kelima dengan 60 mata, empat mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.