Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Badminton Terbuka Singapura dibatalkan

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Saingan Badminton Terbuka Singapura yang menjadi medan terakhir bagi kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo pada 1 hingga 6 Jun depan telah dibatalkan.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Persatuan Badminton Singapura (SBA) mengesahkan perkara tersebut melalui satu kenyataan di laman web rasminya.

Menurut kenyataan tersebut, BWF menjelaskan walaupun pihak penganjur melakukan semua usaha bagi memastikan tahap keselamatan namun pihaknya terpaksa membatalkan kejohanan berkenaan berikutan peningkatan kes COVID-19.

Katanya, peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia telah membuatkan usaha tersebut lebih mencabar terutama bagi menguruskan perjalanan pemain dan pegawai peserta.

BWF turut memaklumkan kejohanan itu tidak akan dijadualkan semula.

Saingan Terbuka Singapura adalah kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 dan kejohanan terakhir yang menawarkan mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo Julai depan.

Keputusan itu menyaksikan tiada lagi kejohanan buat pemain negara untuk mengutip mata ke Tokyo serta menjadi medan persiapan sebelum menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu.

Antara pemain negara yang bakal beraksi di temasya itu adalah jaguh perseorangan lelaki Lee Zii Jia, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.