Wednesday, 23 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Dikejutkan Leicester, MU 'hadiahkan' City trofi EPL

  • Published in Sukan

MANCHESTER, 12 Mei - Manchester City dinobatkan selaku juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas pencabar terdekat, Manchester United tewas mengejut 1-2 kepada Leicester City awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan City menjulang gelaran EPL buat kali ketiga dalam empat musim selepas selesa meninggalkan United dengan 10 mata tatkala saingan berbaki tiga lagi perlawanan.

Setelah mengharungi tiga perlawanan dalam masa lima hari, United akhirnya terlepas gelaran tersebut kepada kelab jiran setempat mereka itu apabila terpaksa melakukan 10 perubahan dalam kesebelasan skuadnya.

Jaringan voli cantik, Luke Thomas pada minit ke-10 meletakkan Leicester di depan sebelum Mason Greenwood menyamakan kedudukan buat United lima minit kemudian.

Namun, tandukan Caglar Soyuncu pada minit ke-66 memastikan Leicester mengutip tiga mata di Old Trafford, sekali gus menghadiahkan trofi kejuaraan musim ini buat City.

'The Citizens' sebelum ini terlepas meraikan gelaran tersebut lebih awal pada Ahad lalu selepas Chelsea menewaskan mereka 2-1 di Etihad manakala United turut mencatat kejayaan ke atas Aston Villa.

Bagaimanapun, penantian tersebut hanya sementara dan 'The Citizens' yang turut menjulang gelaran Piala Liga Inggeris pada April, akhirnya berjaya menebus kehampaan mereka ketika terlepas trofi ini kepada Liverpool pada musim lalu.