Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Pemain profesional jalani latihan pusat di ABM, persiapan ke Tokyo 2020

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 11 Mei - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuka pintu kepada mana-mana pemain profesional negara untuk menyertai latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sebagai persiapan ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo yang dijadualkan pada Julai depan.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, tawaran itu dibuat atas keprihatinan badan badminton negara itu terhadap pemain profesional yang terpaksa menghentikan latihan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaharu yang dikenakan kerajaan.

Menurut Mohamad Norza, BAM mengalu-alukan penyertaan pemain yang layak ke Tokyo 2020 seperti pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan perseorangan wanita, Soniia Cheah berlatih di bawah satu bumbung bersama pemain lain demi kejayaan Malaysia.

Kesemua pemain profesional dan BAM yang beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu akan turun menggalas misi yang sama iaitu bermain demi kejayaan dan kegemilangan Jalur Gemilang.

Di bawah PKP, hanya aktiviti sukan tanpa sentuhan seperti berlari dan berbasikal di kawasan terbuka sahaja dibenarkan, manakala atlet negara yang menjalani persiapan ke Sukan Olimpik dan Sukan SEA 2021 perlu kembali ke pusat latihan secara kuarantin.

Tambah Mohamad Norza, kesemua pemain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh latihan secara kuarantin tersebut berlangsung.

Sebelum ini, beberapa pemain badminton profesional negara yang tidak lagi berada di bawah naungan BAM mengeluh kerana berdepan kesukaran menjalani persiapan ke Sukan Olimpik 2020 disebabkan pelaksanaan PKP.