Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Prestasi skuad terjun lelaki membimbangkan

  • Published in Sukan

SEPANG, 8 Mei - Prestasi skuad terjun lelaki negara khususnya penerjun senior dalam keadaan agak membimbangkan.

Ia disuarakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail selepas mereka menampilkan prestasi kurang memuaskan pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, Jepun yang berakhir, Khamis lalu.

Menurutnya, MSN dan Persekutuan Renang Malaysia akan mengadakan satu post mortem bagi menilai semula prestasi penerjun lelaki negara.

Dalam saingan Piala Dunia Terjun FINA kali ini, skuad terjun lelaki pulang dengan tangan kosong, malah lebih mengecewakan tiada seorang pun yang berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Penerjun senior harapan, Ooi Tze Liang sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh pada aksi final acara 3 meter seirama bersama pasangannya, Chew Yiwei.

Sebagai rekod, Tze Liang berjaya melayakkan diri dalam acara 10 meter platform individu lelaki di Sukan Olimpik Rio 2016.