Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2021 batal

  • Published in Sukan

BUKIT JALIL, 8 Mei - Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual berlangsung bulan depan terpaksa dibatalkan berikutan peningkatan kes COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata keputusan pembatalan kejohanan berkenaan dibuat setelah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengambil kira situasi penularan Pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

Keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif KHM kali ke-8 yang berlangsung hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan kejohanan tersebut boleh diadakan pada bulan Disember sekiranya situasi pandemik beransur pulih.

Terdahulu, kejohanan edisi 2020 juga tidak dapat diadakan kerana peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia.

Turut menyertai mesyuarat secara maya itu, Timbalan Presiden, Datuk S. Shamala serta Presiden Persatuan Hoki Perak, Tuan Haji Mohd Sayuti Abdul Samat.