Giliran Jun Hoong layak ke Olimpik Tokyo

TOKYO, 4 Mei - Atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo dalam acara 10 meter platform individu wanita.

Dia disahkan layak selepas mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Jepun.

Di Kejohanan Piala Dunia Terjun yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, atlet kelahiran Perak itu menamatkan saingan pusingan kelayakan di tempat pertama dengan mengumpul 345.30 mata.

Beliau menewaskan pencabar terdekatnya dari Russia Luliia Timoshinina yang mengumpul 336.70 mata untuk tempat kedua diikuti Gabriela Agundez Garcia dari Mexico, tempat ketiga.

Sementara itu, Pandelela Rinong yang sudah layak lebih awal ke Olimpik Tokyo turut mara ke separuh akhir apabila menduduki tempat keempat dengan mengumpul 325 mata.

Kedua-dua atlet negara itu akan turun untuk aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung esok.

Mereka perlu menamatkan saingan dalam kelompok 12 terbaik untuk melangkah ke pentas final.