Logo

FINA 2021: Wendy-Nur Dhabitah terlepas peluang ke final 3 meter seirama

TOKYO, 2 Mei - Tuah tidak menyebelahi pasangan atlet terjun negara, Wendy Ng Yan Yee-Nur Dhabitah Sabri dalam acara 3 meter seirama wanita apabila menamatkan pusingan awal di tempat ke-15 pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA 2021 di Tokyo, Jepun.

Dalam saingan tersebut Wendy dan Nur Dhabitah sekadar berjaya mengumpul 217.95 mata, sekali gus gagal ke final di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun.

Menurut ketua jurulatih terjun negara, Christian Brooker, pasangan tersebut telah berlatih dengan baik bagi persiapan menghadapi kejohanan tersebut malah prestasi mereka juga bagus semasa sesi pemanas badan.

Jelas Brooker, ada masa atlet mencatat prestasi yang bagus serta sebaliknya dan malangnya itulah yang berlaku pada penerjun wanita pada aksi tersebut.

Dalam pada itu, pasangan China Chen Yiwen-Chang Yani meraih pingat emas selepas mengumpul 317.16 mata, sementara Jinnifer Abel-Melissa Citrini Beaulieu dari Kanada memenangi pingat perak dengan 294.48 mata dan pingat gangsa menjadi milik Kristina Ilinykh-Mariia Poliakova dari Rusia yang mengutip 273.33 mata.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.