Logo

ASTAF tetapkan 5 Mei dengar prosiding PSM

KUALA LUMPUR, 1 Mei - Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menetapkan tarikh 5 Mei untuk mendengar prosiding tatatertib terhadap Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Kader berkata, badan pentadbir Asia itu tidak akan memberi lanjutan 14 hari kepada Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat, untuk menjawab secara bertulis tuduhan terhadapnya selepas tempoh berkenaan telah pun tamat pada 27 April lalu.

Menurut Abdul Halim, oleh kerana pihaknya tidak menerima respons daripada Ahmad, maka mereka menganggap individu berkenaan enggan memberi jawapan secara bertulis dan kedudukannya akan ditentukan pada prosiding tatatertib 5 Mei nanti menerusi aplikasi zoom.

Abdul Halim, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) berkata, prosiding itu akan diteruskan seperti dirancang bagi mendengar dan membicarakan tuduhan terhadap Ahmad sekiranya beliau memilih untuk tidak hadir.

Sementara itu, Abdul Halim turut mengingatkan Ahmad bahawa di bawah Peraturan dan Prosedur Tatatertib Perlembagaan ASTAF, beliau tidak berhak diwakili oleh peguam.

Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) pada Rabu memaklumkan mereka akan meneruskan tindakan tatatertib terhadap Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berikutan kenyataan Ahmad mengenai pemilihan ASTAF pada 1 Mac.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) ketika ini digantung sementara sehingga perbicaraan diadakan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.