Logo

Fabio Quartararo gah kuasai Grand Prix Portugal

PARTIMAO, 19 April - Pelumba pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo merangkul kejuaraan kedua musim ini selepas memenangi MotoGP, Grand Prix Portugal.

Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo di tempat kedua manakala juara dunia yang mewakili Suzuki Ecstar, Joan Mir di tempat ketiga.

Pelumba Honda, Marc Marquez yang membuat kemunculan semula selepas sembilan bulan pula menduduki tempat ketujuh.

Quartararo yang juga muncul juara dua minggu lalu di Doha berkelebihan 15 mata sebagai pendahulu.

Bermula di petak utama, pelumba Monster Energy Yamaha itu bermula perlahan sehingga ketinggalan di tempat keempat namun kembali bangkit dengan mendahului baki 17 pusingan.

Sementara, Francesco Bagnaia dari Ducati yang dinafikan untuk meraih petak utama kerana pelanggaran bendera kuning pada sesi kelayakan tidak menghampakan menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan juara dunia Suzuki, Joan Mir, menduduki tempat ketiga untuk meraih podium pertamanya musim ini.

Marquez pula yang kali pertama berlumba musim ini sejak patah tangan di GP Sepanyol Julai tahun lalu, bertembung dengan Mir pada permulaan perlumbaan di Litar Portimao ini namun bernasib baik untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Pendahulu saingan, Johann Zarco pula gagal menamatkan perlumbaan akibat kemalangan.

Sementara itu, penunggang rookie Red Bull KTM, Raul Fernandez meraih kemenangan sulung Moto2 di depan Aron Canet dan Remy Gardner.

Manakala dalam aksi Moto3, Pedro Acosta dari Red Bull KTM mengatasi Dennis Foggia dari Leopard Racing di pusingan terakhir untuk muncul juara.

Kejuaraaan MotoGP akan diteruskan di Grand Prix Sepanyol bulan depan di Jerez.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.