Saturday, 15 May 2021

updated 2:18 PM UTC, May 15, 2021

Tingkat keselamatan saingan MotoGP, Panel Bendera Digital Homologated bakal digunakan

  • Published in Sukan

MADRID, 16 April - Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bakal memperkenalkan penggunaan 22 panel bendera digital berteknologi tinggi atau dikenali Panel Bendera Digital Homologated untuk digunakan semasa perlumbaan.

Saingan MotoGP Portugal akan menjadi perlumbaan pertama menggunakan panel bendera digital tersebut sebelum ia diwajibkan penggunaannya pada 2022.

Ini merupakan syarat terbaharu Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) kepada semua litar yang menjadi tuan rumah.

Panel Bendera Digital Homologated memberi penglihatan yang sangat baik pada kelajuan tinggi dalam semua keadaan cuaca, sekali gus memudahkan penunggang mengetahui status semasa litar dan meningkatkan keselamatan dengan ketara.

MotoGP akan menggunakan gabungan panel T1 dan T2, dengan T1 digunakan di kawasan lurus yang panjang dan manakala T2 meliputi kawasan litar yang lain.

Bendera panel akan disatukan sepenuhnya ke dalam sistem Kawalan Balapan MotoGP terkini yang bermaksud panel akan dikawal terlebih dahulu dan paling utama oleh 'Race Control' yang membolehkan mereka mengubah status keseluruhan litar dengan serta-merta sekiranya berlaku sesuatu.

Setiap panel mempunyai konsol yang akan dikendalikan oleh marshal di tepi jalan untuk bendera kuning tempatan dan insiden sektor.