Logo

MU, Arsenal tempat slot separuh akhir Liga Europa

MANCHESTER, 16 April - Empat aksi timbal balik suku akhir Liga Europa berlangsung awal pagi tadi menyaksikan Arsenal catat kemenangan selesa 4-0 ke atas Slavia Prague sekali gus layak ke kelompok empat terakhir.

Turut mara, Manchester United yang menewaskan Granada 2-0 dalam satu lagi pertemuan.

Bermain di tempat lawan tidak menjejaskan rentak Arsenal apabila meledak tiga gol dalam tempoh enam minit di babak pertama.

Nicolas Pepe, Alexandre Lacazette dan Bukayo Saka menemui sasaran bermula minit ke-18 hingga 24 untuk meletakkan The Gunners selesa di depan.

Lacazette kemudian menambah gol keempat buat pasukannya pada lewat permainan sekaligus menang dengan agregat 5-1.

Di separuh akhir, anak buah Mikel Arteta bakal bertemu Villareal yang terdahulu menyingkirkan Dinamo Zagreb.

Di Old Trafford pula, Manchester United melangkah ke separuh akhir Liga Europa selepas mengatasi Granada 4-0 secara agregat.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer melayan kunjungan kelab Sepanyol itu dengan kelebihan 2-0 hasil aksi pertama minggu lalu.

Edinson Cavani membuka jaringan buat tuan rumah seawal minit ke-6 sebelum Granada menjaringkan gol sendiri di hujung permainan.

United yang kali terakhir memenangi kejohanan ini di bawah kendalian Jose Mourinho pada tahun 2017 akan bertemu Roma di separuh akhir.

Tahun lalu, United tewas kepada Sevilla dalam kelompok empat terakhir.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.