Logo

Ketinggian jadi "senjata rahsia", Raja Pecut GP Malaysia wajar diberi peluang ke Sukan SEA 2021

KUALA LUMPUR, 16 April - Ketinggian 184 sentimeter yang dimiliki Muhammad Arsyad Md Saat nyata menjadi kelebihan buat pelari pecut Johor itu sehingga berjaya muncul sebagai Raja Pecut 100 meter lelaki di Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Malaysia, Sabtu lepas.

Lebih manis, catatan masa 10.64 saat yang direkodkan itu merupakan rekod peribadi baharunya selepas mencatat 10.70 saat semasa Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia 2019.

Kejayaan itu sudah cukup untuk mengecewakan atlet kebangsaan dari Sarawak, Jonathan Nyepa yang berada di tempat kedua manakala Muhammad Azeem Mohd Fahmi dari Perak pula di tempat ketiga.

Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim mengakui Muhammad Arsyad yang dibimbing sejak 2019, memiliki kelebihan dalam aspek ketinggian fizikalnya untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Mohd. Poad turut menjelaskan dia tidak menyangka pelari muda itu mampu melakar kejutan pada GP Malaysia kerana sasaran sebenarnya adalah untuk mencatat rekod baharu peribadi di kejohanan itu.

Atas kejayaan itu, Muhammad Arsyad yang juga pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail kini berpeluang cerah untuk sekurang-kurangnya disenaraikan dalam kuartet 4 kali 100 meter pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, November depan.

Mohd Poad sebelum ini pernah membimbing dua atlet pecut meraih emas dalam acara riben biru tersebut di dua temasya Sukan SEA berturut-turut menerusi Khairul Hafiz Jantan di Kuala Lumpur pada 2017 dan Muhammad Haiqal Hanafi di Manila, Filipina pada 2019.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.