Logo

Sukan Para ASEAN: Hanya 11 jenis sukan dipertandingkan

HANOI, 16 April - Vietnam mengesahkan hanya 11 jenis sukan yang akan dipertandingkan pada temasya Sukan Para ASEAN edisi ke-11 di Hanoi pada Disember ini, walaupun terdapat permintaan untuk penambahan empat lagi sukan.

Menurut Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Vietnam, mereka telah memaklumkan secara rasmi kepada Persekutuan Sukan Para ASEAN bahawa mereka tidak dapat memenuhi cadangan memasukkan empat sukan tambahan itu atas sebab ekonomi serta kesukaran menyediakan venue dan kemudahan akibat pandemik COVID-19.

Sebelum ini, cadangan untuk menambah empat lagi sukan iaitu bola keranjang kerusi roda, bola sepak cerebral palsy, berbasikal dan bola tampar duduk kepada 11 sukan sedia ada dibuat pada 25 Februari lepas.

Ia dibuat berdasarkan dapatan akhir penyataan minat yang mengisytiharkan bahawa empat sukan itu melepasi kriteria pemilihan dengan lebih empat negara menyokong kemasukannya.

Setakat ini 11 sukan yang sah dipertandingkan ialah olahraga, badminton, renang, ping pong, catur, powerlifting, boccia, judo, goalball, tenis berkerusi roda dan memanah.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.