Friday, 14 May 2021

updated 2:56 PM UTC, May 14, 2021

264 atlet, jurulatih dan pegawai terima suntikan vaksin

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 13 April - Menjelang temasya Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

Seramai 264 atlet, jurulatih dan pegawai dari Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Kompleks Sukan DBKL, Cheras pagi tadi.

Daripada jumlah itu, 93 adalah atlet normal manakala 35 lagi atlet para.

Program itu dimulakan seawal 8 pagi dengan pendaftaran kehadiran, saringan gejala dan imbasan suhu serta pengesahan identiti yang dilakukan di luar dewan.

Manakala ruang untuk menerima suntikan pula dilakukan di dalam dewan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selesai menerima suntikan dos pertama pada pukul 10.30 minit pagi.

Ujarnya, KBS dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini sedang berusaha untuk menyediakan suntikan vaksin kepada kumpulan kedua pada Mei depan melibatkan 1,000 orang atlet.

ISN akan bertindak sebagai badan yang akan memantau perkembangan semua penerima dos pertama hari ini sebelum membenarkan latihan berjalan seperti biasa.

Jelas Datuk Seri Reezal lagi, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) turut memberi kelonggaran kepada setiap negara dengan tidak mewajibkan semua atlet yang akan ke Tokyo nanti perlu disuntik vaksin.

Buat masa ini atlet Malaysia yang telah mendapat dua dos vaksin di luar negara ialah pelumba Moto Two negara, Hafiz Syahrin, di Qatar.

Rata-rata atlet yang ditemui teruja dengan suntikan dos pertama vaksin dengan harapan dapat meneruskan semula latihan dan penyertaan ke kejohanan dalam misi memburu pertama Olimpik buat Malaysia.