Logo

BAM perlu masa pertimbang sistem pemarkahan baharu BWF

KUALA LUMPUR, 11 April - Persatuan badminton Malaysia (BAM) belum membuat sebarang ketetapan keputusan mengenai cadangan sistem pemarkahan baharu pasca temasya Olimpik Tokyo dan Temasya Paralimpik.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata perbincangan mengenainya telah diadakan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM ke-76 semalam, namun tiada keputusan.

Beliau berkata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, Pengarah Kejurulatihan Wong Choong Hann dan Pengarah Teknikal Skuad Badminton Remaja Kebangsaan, Datuk Misbun Sidek akan memberi pandangan masing-masing.

Jelas beliau, sistem pemarkahan baharu telah dicadangkan kembali oleh persatuan badminton Indonesia dan badminton Maldives yang mendapat persetujuan Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Poul-Erik Hoyer.

BWF akan mengadakan undian mengenainya pada bulan Mei depan bagi menukarkan format semasa 21 mata kepada 11 mata kemenangan dalam lima perlawanan yang memerlukan sokongan dua pertiga daripada AGM BWF.

Cadangan sama pernah dikemukakan pada tahun 2014 dan 2018, namun ia gagal mendapat sokongan yang dikehendaki daripada anggota BWF.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.