Logo

Sedar persiapan jauh ketinggalan, Cheng Hoe mahu skuad Harimau Malaya berkumpul lebih awal

KELANA JAYA, 4 April - Menyedari skuad bola sepak kebangsaan jauh ketinggalan dari sudut persiapan.

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe berharap dapat menyediakan pasukan lebih awal menjelang baki saingan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun ini.

Cheng Hoe mahukan tempoh antara 10 hingga 12 hari pada Mei sebelum berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun diikuti Vietnam pada 11 Jun dan Thailand empat hari kemudian yang telah melakukan persiapan lebih awal.

Jelasnya, persediaan rapi sebelum bersaing dengan ketiga-tiga pasukan dalam aksi Kumpulan G itu merupakan faktor utama yang mampu membawa kepada kejayaan skuad Harimau Malaya dalam misi layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Apa yang merisaukan Cheng Hoe adalah aksi Liga Malaysia yang dijadual berlangsung sehingga minggu terakhir Mei, sekali gus, menjadi halangan bagi mengumpulkan barisan pemain lebih awal.

Namun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan cadangan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menangguhkan aksi Liga M melibatkan perlawanan selepas Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 13 dan 14 Mei.

Skuad kebangsaan hanya baru sekali menjalani latihan pusat di Johor Bahru selama seminggu bulan lalu selepas kira-kira setahun tidak dapat berkumpul gara-gara pandemik COVID-19.

Selepas lima perlawanan, Malaysia dipisahkan dua mata di belakang Vietnam selaku pendahulu kumpulan dengan mengumpul 11 mata sementara Thailand di kedudukan ketiga dengan lapan mata dan UAE di kedudukan keempat mengumpul enam mata dengan kurang satu perlawanan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.