Wednesday, 21 April 2021

updated 7:33 AM UTC, Apr 21, 2021

Berikan masa untuk Harimau Malaya 'tajamkan kuku' sebelum hadapi UAE

  • Published in Sukan

KELANA JAYA, 31 Mac - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan cadangan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk pertimbangan agar saingan Liga Malaysia 2021 yang dijadualkan pada Mei dapat dipinda.

Ia bagi memberi laluan kepada skuad Harimau Malaya melakukan persiapan menghadapi baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun depan.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tempoh tersebut amat kritikal bagi memastikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu memiliki lebih masa menjalani latihan sebelum berdepan aksi getir dengan UAE.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan FAM Bersama Casio di Wisma FAM, tengahari tadi.

Berdasarkan kalendar Liga M 2021, aksi Liga Super akan dihentikan seketika pada 22 Mei bagi memberi laluan kepada jadual antarabangsa berkenaan sebelum disambung semula pada 2 Julai.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff yang juga pengurus pasukan kebangsaan mengesahkan, tiga pasukan iaitu Bahrain, Jordan dan Australia telah menyatakan kesudian untuk beraksi menentang Malaysia sebagai aksi pemanas badan.

Mengulas mengenai penajaan selama setahun Casio bersama FAM, Mohd. Yusoff melahirkan penghargaan kepada perjanjian tersebut selain percaya ia mampu menaikkan semangat pemain dan penyokong Harimau Malaya.