Logo

Menang di Australia, Shah Firdaus tidak mahu 'dibuai mimpi'

KUALA LUMPUR, 31 Mac - Pelumba berbasikal trek negara, Mohd Shah Firdaus Sahrom enggan dibuai dengan kejayaan cemerlangnya dalam beberapa siri perlumbaan 'pemanas badan' di Australia baru-baru ini.

Sebaliknya, bintang trek yang sedang meningkat naik itu hanya mahu fokus terhadap misinya bersama Azizulhasni Awang dalam merangka strategi ampuh untuk digunakan pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo, Julai depan.

Peningkatan prestasi yang dipamerkan Shah Firdaus dalam beberapa kejohanan di Australia berjaya membuka mata ramai pihak mengenai potensi sebenar yang ada dalam dirinya.

Pelumba berusia 25 tahun itu, membuat kejutan apabila berjaya menaiki podium dalam acara Keirin dan Pecut di Kejuaraan Trek Kebangsaan Australia termasuk muncul juara dengan mengatasi Azizulhasni pada edisi di Brisbane minggu lalu.

Kejayaan itu, bukan sahaja mendapat perhatian peminat sukan di Malaysia malah Azizulhasni yang juga bekas pelumba Keirin nombor satu dunia turut mengakui Shah Firdaus kini semakin matang dan berpotensi menyumbang pingat di Tokyo nanti.

Meskipun dilambung dengan pelbagai pujian, Shah Firdaus bagaimanapun mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki dalam rentak kayuhannya dan kejayaan yang dilakar di Australia itu juga adalah bukan objektif utama.

Sebaliknya, dia mengakui penyertaannya di kejohanan tersebut adalah untuk mencuba pelbagai strategi pecutan yang bakal dipraktikkan bersama Azizulhasni di Tokyo nanti.

Shah Firdaus juga menjelaskan dia mahu memberi fokus pada penampilan sulungnya di temasya sukan terbesar dunia berkenaan dan enggan meletakkan sebarang tekanan ke atas dirinya apabila turun menggalas cabaran Malaysia di sana pada Julai ini.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.