Logo

Malaysia terus cipta kecemerlangan, raih tiga gelaran Terbuka Poland 2021

KUALA LUMPUR, 29 Mac - Pemain Malaysia terus mencipta kecemerlangan apabila meraih tiga gelaran dalam kempen Terbuka Poland 2021 yang berlangsung di Gniezno, semalam.

Masing-masing menerusi acara perseorangan lelaki, beregu campuran dan beregu lelaki.

Dalam aksi perseorangan, pemain berusia 20 tahun, Ng Tze Yong mengejutkan pilihan kedua, Pablo Abian dari Sepanyol dengan keputusan 21-19, 21-11 untuk menjuarai saingan akhir kejohanan.

Pablo merupakan juara 2010 dan 2011, sementara Tze Yong adalah pemain ketiga Malaysia muncul juara perseorangan lelaki selepas Liew Darren melakukannya pada 2015 dan Tan Jia Wei pada 2017.

Ia juga merupakan kejuaraan kedua pemain nombor 136 dunia itu selepas memenangi Kejohanan Antarabangsa Selatan Australia 2019.

Sementara itu, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei, kedua-duanya berusia 20 tahun, menjuarai beregu campuran selepas menewaskan Nicolas A. Mueller-Ronjan Stern dari Switzerland dengan keputusan 21-16 dan 21-12.

Dalam pada itu, di aksi akhir beregu lelaki menyaksikan wakil Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menumpaskan Chang Yee Jun-Chia Wei Jie dengan keputusan 21-17, 20-22, 21-19 dalam saingan yang berlangsung selama 49 minit.

Kejayaan Wei Chong, 21 dan Kai Wun, 20, juga mengakhiri kemarau dua dekad negara dalam acara beregu lelaki yang hanya dimenangi oleh Chang Kim Wai-Hong Chieng Hun pada 2000.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.