Logo

Muhammad Shah Firdaus tunjuk belang, juarai acara Keirin

BRISBANE, 28 Mac - Dua jaguh elit berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom terus menyajikan prestasi konsisten di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia.

Pada pusingan akhir acara Keirin lelaki tengahari tadi, Malaysia mencatat keputusan 1-2.

Pelumba muda yang semakin meningkat naik, Shah Firdaus merangkul pingat emas acara tersebut manakala Azizulhasni meraih pingat perak.

Firdaus mempamerkan taktik kayuhan sempurna untuk meninggalkan pencabar-pencabar lain pada pusingan terakhir.

Pelumba tuan rumah, Matthew Richardson pula meraih pingat gangsa.

Pada saingan Pecut Lelaki semalam, Azizul atau nama julukannya 'The Pocket Rocketman' meraih pingat perak manakala Shah Firdaus, gangsa.

Pencapaian cemerlang kedua-dua pelumba ini dalam beberapa kejohanan di Australia dilihat memberikan harapan buat negara dalam usaha memburu pingat emas pertama di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai ini.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.