Agong zahir ucapan tahniah kepada Nicol

KUALA LUMPUR, 2 Februari - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David yang dinobatkan pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia semalam.

Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan tersebut yang sekali gus telah mengharumkan nama negara di persada dunia.

Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah bertitah, kejayaan itu membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Ia juga membuktikan, dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada dunia.

Al-Sultan Abdullah juga menyifatkan pencapaian Datuk Nicol sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia.

Ia juga menjadi suntikan semangat dan kegembiraan kepada seluruh rakyat tatkala dunia dan negara masih bergelut memerangi penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, kejayaan Datuk Nicol turut menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berkongsi rasa bangga bersama seluruh rakyat Malaysia, Perdana Menteri berkata ia membuktikan sumbangan, keringat dan aksi Datuk Nicol selama ini terus diperhatikan dunia walaupun beliau telah menggantung raket. 

Menerusi catatan terbaharu di akaun Facebook rasmi, Tan Sri Muhyiddin turut berharap kejayaan atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 37 tahun itu dapat menyuntik motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berjuang mengharumkan nama negara dalam apa jua bidang diceburi.