KBS mahu galakkan budaya badan beruniform

KUALA LUMPUR, 30 Januari - Badan beruniform perlu menjadi budaya dalam kalangan belia seperti aktiviti sukan.

Perkara itu ditekankan Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dalam satu perjumpaan secara maya bersama kepimpinan pertubuhan beruniform badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) di Putrajaya.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap, badan beruniform turut sentiasa bekerjasama dengan KBS dan akan sentiasa diutamakan pihaknya.

Dalam pertemuan sama, Datuk Seri Reezal turut mengumumkan KBS telah memperuntuk RM240,000 kepada enam badan beruniform iaitu Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Persekutuan Pengakap Malaysia, Pergerakan Puteri Islam Malaysia, Briged Putera dan Puteri Malaysia serta Persatuan St. John Ambulans Malaysia.

Bantuan ini merupakan inisiatif bagi meringankan impak ekonomi dan kewangan badan beruniform yang terjejas akibat penularan COVID-19 di Malaysia.