Sunday, 17 January 2021

updated 12:18 PM UTC, Jan 17, 2021

Liverpool 'diikat', penyokong MU pasang impian kembali terajui liga di tahun baharu

  • Published in Sukan

NEWCASTLE, ENGLAND, 31 Disember - Liverpool terlepas peluang mengukuhkan cengkaman dengan kelebihan lima mata di carta Liga Perdana Inggeris apabila diikat tanpa jaringan oleh Newcastle United pada aksi awal pagi tadi.

Ini kali kedua berturut-turut The Reds mencatat keputusan seri sekali gus menyaksikan mereka menamatkan tahun 2020 dengan kelebihan tiga mata ke atas pencabar terdekat, Manchester United.

Pada aksi di Stadium St James' Park itu, trio serangan Liverpool, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino seakan-akan kehilangan sentuhan jaringan apabila gagal menembusi kekebalan penjaga gol Newcastle, Karl Darlow.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu sebelum ini, seri 1-1 dengan pasukan bawahan, West Bromwich Albion, Isnin lalu dan turut bergelut ketika diikat Fulham awal bulan ini.

Meskipun seri, Liverpool yang menjulang gelaran EPL musim lalu, masih mendahului carta liga dengan 33 mata daripada 16 perlawanan namun diekori rapat Manchester United dengan perbezaan tiga mata serta memiliki baki satu perlawanan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sesama sendiri di Anfield pada 17 Januari depan.