Saturday, 28 November 2020

updated 9:00 AM UTC, Nov 28, 2020

Tindakan MFL batal Piala Malaysia langkah tepat

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 13 November - Pembatalan saingan Piala Malaysia oleh Malaysia Football League (MFL) langkah tepat kerana ia melibatkan aspek keselamatan ramai pihak, biarpun mengundang pelbagai reaksi daripada pasukan bertanding.

Mengakui ia bukannya keputusan mudah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut memuji serta menghargai keputusan yang dibuat pentadbir Liga Malaysia itu.

Semalam, MFL telah mencapai kata sepakat untuk membatalkan saingan Piala Malaysia 2020 yang telah pun memasuki peringkat suku akhir.

Keputusan dibuat dalam mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL berikutan rayuan untuk meneruskan kejohanan itu telah ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Eksekutifnya Datuk Abdul Ghani Hassan berkata, lebih banyak masalah akan timbul jika MFL melanjutkan tarikh saingan Piala Malaysia, menyebabkan pasukan-pasukan bertanding akan berdepan masalah seperti ketiadaan pemain serta terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi.