Saturday, 28 November 2020

updated 11:55 AM UTC, Nov 28, 2020

Piala Malaysia akhirnya dibatalkan

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 12 November - Teka-teki mengenai status kejohanan Piala Malaysia akhirnya terjawab selepas Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan Kejohanan itu dibatalkan.

Melalui satu kenyataan, MFL memaklumkan keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas rayuan mereka untuk meneruskan kejohanan itu ditolak Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata keputusan tersebut sukar untuk dilakukan namun pihaknya akur dengan arahan MKN demi kesihatan dan keselamatan semua pihak.

Tambah beliau, MFL tidak boleh menangguhkan lagi kejohanan ini ke bulan lain atas faktor kontrak pemain yang secara amnya akan berakhir pada 30 November ini.

Selain itu, pasukan bertanding akan berdepan masalah seperti ketiadaan pemain serta terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi jika MFL menunda kejohanan tersebut berbanding membatalkannya terus.

MFL sebelum ini memaklumkan mereka bersedia dengan mekanisme khas untuk meneruskan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 di negeri bebas PKPB.