Saturday, 28 November 2020

updated 9:00 AM UTC, Nov 28, 2020

Penangguhan Piala Malaysia : KBS akan kemuka rayuan jika kes positif COVID-19 berkurangan

  • Published in Sukan

PARLIMEN, 11 November - Kementerian Belia dan Sukan akan mengemukakan rayuan bagi membolehkan perlawanan bola sepak dapat diadakan apabila kes positif COVID-19 dalam negara semakin berkurangan.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengakui saingan Piala Malaysia yang memasuki peringkat suku akhir antara yang dinanti-nantikan rakyat.

Walau bagaimanapun, saingan tersebut terpaksa ditangguhkan susulan peningkatan jumlah jangkitan pandemik berkenaan selain pelaksanaan PKPB di sebahagian besar negeri.

Penjelasan itu bagi menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan dewan, sehingga kini sebanyak 21 pasukan telah berjaya memenuhi syarat pembentukan kelab bola sepak bagi menggantikan pasukan yang dibentuk persatuan bolasepak negeri sebelum ini.

Model penswastaan Persatuan Bola Sepak (FA) ke Kelab Bola Sepak (FC) telah ditangguhkan sejak 2013.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengarahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjalankan proses pemisahan serta memenuhi keperluan AFC bagi musim 2021.

Menurut Datuk Seri Reezal, Malaysia merupakan negara Asia terakhir yang melaksanakan proses tersebut.

Proses penswastaan itu dilihat sebagai usaha pemisahan daripada sudut tanggungjawab, skop dan peranan yang ketara di antara FA dan FC.