Logo

Aksi sulong Safawi Rasid di bumi Portugal, diturunkan dalam kesebelasan utama skuad B-23 Portimonense SC

PORTUGAL, 17 Oktober - Pemain sensasi negara, Safawi Rasid membuat kemunculan pertama bersama skuad Bawah 23 tahun Portimonense SC dalam perlawanan menentang Sporting CP malam tadi.

Lebih menarik, Safawi diletakkan dalam kesebelasan utama dan beraksi sehingga minit ke-56.

Walau bagaimanpun, Portimonense gagal meraih kemenangan apabila tewas dengan keputusan 1-3 meskipun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Paulo Estrela pada minit ke-17.

Sporting kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Rafael Fernandes pada minit ke-27.

Memasuki separuh masa kedua, Sporting menjaringkan dua gol dalam tempoh masa tiga minit menerusi percubaan Duarte Carvalho dan Nicolai Skoglund.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekaligus memberi kemenangan kepada Sporting.

Dan malam ini, skuad utama Portimonense akan beraksi menentang C.S Maritimo dalam aksi Liga Primeira.

Namun, sama ada Safawi bakal diturunkan dalam kesebelasan utama atau hanya sekadar memanaskan bangku simpanan, masih menjadi tanda tanya sehinggalah sepak mula malam ini.

Pemain berusia 23 tahun itu berhijrah secara pinjaman selama semusim dengan kelab utama Portugal itu dan kemungkinan ditawarkan kontrak sambungan jika prestasinya berjaya memikat barisan jurulatih.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.