Saturday, 24 October 2020

updated 8:47 AM UTC, Oct 24, 2020

Penggiat sukan terkesan PKPB : KBS beri jaminan tingkat usaha bantu industri

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) prihatin dan memahami keresahan penggiat sukan yang terkesan susulan penguatkuasaan PKPB.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya memberi jaminan untuk meningkatkan usaha membantu industri.

Antara perkara yang dilakukan ialah mengadakan kerjasama dan mengikut panduan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan.

Pematuhan membolehkan aktiviti sukan dan rekreasi dapat dibuka semula sebaik sahaja berakhirnya tempoh PKPB.

Datuk Seri Reezal menerusi kenyataan turut menjelaskan bahawa larangan aktiviti sukan dalam dewan hanyalah bersifat sementara.

Malah ujarnya, kerajaan masih membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak melibatkan kontak fizikal terhad kepada maksimum sepuluh orang pada satu-satu masa.

Tegas beliau, langkah melarang aktiviti sukan berkontak dan berpasukan serta lain-lain sukan dalam dewan di kawasan PKPB perlu dilaksanakan atas arahan MKN dan nasihat KKM.

Keputusan tersebut dilaksana atas dasar kesihatan dan kepentingan awam bagi memutuskan penularan pandemik COVID-19.