Saturday, 24 October 2020

updated 12:04 PM UTC, Oct 24, 2020

Terengganu beri insentif RM100,000 kepada dua atlet wakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo

  • Published in Sukan

KUALA TERENGGANU, 27 September - Kerajaan Terengganu memberikan insentif Olympian kepada dua atlet kelahiran negeri itu yang berjaya mewakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan.

Azizulhasni Awang dari sukan berbasikal dan Khairul Anwar Mohamad dari sukan memanah masing masing menerima insentif RM100,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insentif tersebut sebagai galakan untuk mereka meraih pingat pada sukan berprestij dunia itu.

Bagi atlet memanah, Khairul Anwar, insentif ini satu pembakar semangat untuk memberi persembahan terbaik.

Walaupun telah dua kali menyertai sukan Olimpik pada 2012 dan 2016 tanpa sebarang pingat namun Khairul tetap meletakkan sasaran membawa pingat untuk negara.

Insentif berkenaan disampaikan Yang Dipertua DUN, Dato’ Yahya Ali pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2020 peringkat Terengganu di Kuala Terengganu.

Atlet berbasikal, Azizulhasni Awang ketika ini sedang menjalani latihan di Melbourne, Australia sebagai persiapan ke temasya itu yang dijangka berlangsung pada Julai 2021.

Sempena sambutan hari belia ini turut disampaikan beberapa anugerah belia termasuk Anugerah Perdana Belia Negara.

Selain itu, Kerajaan Terengganu turut memperuntukan RM1.1 juta Bantuan Pentadbiran kepada pertubuhan belia negeri Terengganu bagi menggerakkan aktiviti sihat kepada golongan belia sama ada di peringkat kampung, daerah dan negeri.