Saturday, 24 October 2020

updated 12:04 PM UTC, Oct 24, 2020

Piala Tun Abdul Razak 2020: Terengganu tempah slot ke perlawanan akhir

  • Published in Sukan


BUKIT JALIL, 25 September- 
Pertembungan dua bekas juara, Terengganu dan Perak pada aksi final dijangka menarik selepas berjaya mengatasi lawan masing-masing di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Pertembungan esok, merupakan ulangan perlawanan akhir membabitkan kedua-dua pasukan pada 2017 dan 2018 dengan kedua-dua pertemuan dimenangi oleh Perak.

Walau bagaimanapun, Terengganu yang berdepan Pahang di peringkat separuh akhir diberikan tentangan hebat dengan jaringan pembukaan pemain Pahang, Mohammad Noor Firdaus pada minit ke-3.

Terengganu bingkas bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua gol berturut-turut, Mohd Fitri pada minit kelima dan keenam untuk meletakkan Terengganu di depan.

Terengganu terus mengukuhkan kedudukan 3-1 menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari, sebelum Pahang berjaya merapatkan kedudukan menerusi Muhammad Idris Samad pada minit ke-20.

Faizal Saari kembali melebarkan jurang dengan gol keempat pada minit ke-59, sebelum Pahang tampil melancarkan serangan bertali arus di minit akhir perlawanan.

Muhammad Idris berjaya meledak dua gol buat Pahang, namun skuad kendalian Tai Beng Hai berjaya mempertahankan kedudukan untuk menempah slot ke perlawanan akhir.

Ini merupakan final keempat buat Terengganu dalam tempoh lapan tahun, sejak 2012 dengan muncul juara pada tahun 2012 menewaskan Pahang dan 2016 mengatasi PDRM.