Thursday, 24 September 2020

updated 2:00 PM UTC, Sep 24, 2020

Bola jaring akan dipertandingkan dalam kejohanan ASIAN Indoor Games 2021

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 15 September - Sukan bola jaring, buat julung kalinya akan dipertandingkan dalam kejohanan ASIAN Indoor Games 2021, setelah enam kali temasya sukan itu diadakan sebelum ini.

Malaysia bakal terlibat dan menghantar penyertaan bagi kejohanan yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 30 Mei tahun hadapan.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Zainon Md Noh, pihaknya bakal menghantar pasukan remaja pada kejohanan itu memandangkan Malaysia kini berada di kedudukan pertama Asia.

Bukan itu sahaja, para atlet sebenarnya telah memulakan latihan sejak Februari bagi menghadapi Kejohanan Remaja Dunia 2020 yang sepatutnya berlangsung pada Jun lalu dan kini telah ditunda ke Disember 2021.

Zainon ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama Majlis Olimpik Malaysia, semalam di ibu negara.

Dalam perkembangan sama, PBJM melalui bantuan MOM bersama tiga buah negara iaitu Singapura, Brunei dan Thailand telah mengemukakan rayuan kepada Vietnam selaku tuan rumah Sukan SEA 2021 untuk mempertandingkan bola jaring.

Bola jaring sebelum ini pernah tidak dipertandingkan pada beberapa siri Sukan SEA iaitu pada 2007 hingga 2013.