Wednesday, 12 August 2020

updated 2:52 PM UTC, Aug 12, 2020

KBS-KPM jalin kerjasama misi bentuk generasi berkualiti

  • Published in Sukan

PUTRAJAYA, 25 Jun - Inisiatif Kolaborasi Rentas Kementerian antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Kementerian Pendidikan (KPM) diteruskan dengan misi untuk membentuk generasi Malaysia berkualiti dengan asas kukuh di peringkat sekolah.

Mesyuarat kolaborasi kedua-dua kementerian diketuai menteri masing-masing berlangsung di KPM antaranya membincangkan penyelarasan usaha-usaha membangunkan anak muda melalui pembangunan bakat sukan serta pembangunan bakat kepimpinan.

KBS dan KPM telah lama menjalinkan kerjasama rapat khususnya dalam aspek pencarian bakat sukan di pelbagai peringkat dan ia akan diperkasakan lagi termasuklah perkongsian kepakaran, fasiliti dan kemudahan serta silang kemahiran.

Aspek pembangunan belia juga diberi penekanan dan KBS-KPM sedang melihat inisiatif berterusan agar bakat anak muda diasah dari awal dengan nilai kepimpinan, perpaduan, kerjasama serta disulam dengan nilai-nilai cintakan negara.

Menurut Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, isu anak muda yang berpotensi menjadi belia keciciran turut disentuh.

Tambahnya kerjasama ini juga akan melihat pendekatan dan intervensi yang boleh diambil bersama bagi memastikan polisi berkesan dapat dirangka khusus untuk kumpulan ini.

Datuk Seri Reezal turut mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan membina untuk pembangunan belia.

Cadangan boleh dimajukan di Facebook beliau  https://www.facebook.com/reezal.merican041 .