Monday, June 1, 2020

updated 2:10 PM UTC, Jun 1, 2020

Safee Sali labelkan Hardi Jaafar sukar dicari ganti

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Penyerang berpengalaman, Safee Sali melabelkan bekas pemain tengah negara di awal era tahun 2000, Hardi Jaafar, sebagai antara pemain yang sukar dicari ganti.

Bagi pemain PJ City FC tersebut, kenangan selama dua musim di Selangor bersama Hardi Jaafar pada 2009 dan 2010, banyak mengingatkannya tentang kehebatan kaki kiri dimiliki pemain yang berasal dari Ipoh, Perak itu.

Safee menerusi laman Liga Bolasepak Malaysia, MFL berkongsi senarai 11 pemain pilihannya yang membentuk formasi 4-5-1.

Tambahnya, Hardi yang termasuk dalam senarai pilihannya mempunyai keupayaan teknikal yang cukup tinggi terutama dalam visi melakukan hantaran tepat kepada rakan sepasukan selain sering kali menjaringkan banyak gol menarik dari jarak jauh.

Menurutnya, Hardi mungkin tidak memiliki kepantasan, namun keupayaan teknikal kaki kirinya adalah antara yang terbaik dan sukar ditemui pada mana-mana pemain lain.

Ujarnya, bekas rakan sepasukannya itu juga seorang yang ceria daripada segi perwatakan tetapi cukup serius ketika berada di padang.

Safee membariskan Farizal Marlias selaku penjaga gol manakala Asraruddin Putra Omar, Khairul Anuar Baharom, Marcos Antonio dan S Kunanlan di bahagian pertahanan.

Selain Hardi menguatkan jentera tengah, Safee turut memilih Indra Putra Mahayuddin, Pablo Aimar, Safiq Rahim dan Safawi Rasid.

Penyerang tunggal menjadi pilihan Safee ialah bekas penyerang Johor Darul Ta'zim, JDT yang kini merupakan pengurus pasukan itu, Luciano Figueroa.