Monday, December 16, 2019
updated 4:59 AM UTC, Dec 16, 2019

Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019, Terengganu bakal bertemu Sabah di peringkat akhir

  • Published in Sukan

TERENGGANU - Skuad ragbi Terengganu bimbingan Izaimi Zainuddin meraih tiket ke pentas akhir dengan penuh dramatik menewaskan Johor dalam aksi separuh akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 Edisi Ke-37 yang berkesudahan 34 berbalas 31 mata penamat.

Pemain flyhalf Terengganu, Mohamad Faris Pead membuat kejutan kepada Johor untuk mendapat kutipan mata pembukaan melalui jatuhan try sehingga mengalami kecederaan memaksa dia dikeluarkan dari padang untuk rawatan.

Perlawanan bertempo laju dengan asakan demi asakan padu kedua-dua pasukan untuk mendahului permainan menyaksikan beberapa insiden layangan kad dengan cuaca hujan memburukkan lagi keadaan.

Johor gagal untuk memanfaatkan situasi setelah Terengganu beraksi dengan kurang pemain yang menyimpan satu kad merah pada babak separuh masa kedua.

Terus menambah tekanan buat Terengganu pemain naturalisasi, Timoci Vunimoku turut di arah keluar padang seketika setelah menerima layangan kad kuning.

Situasi bermain seramai 13 pemain ini memaksa Terengganu bekerja keras di minit-minit akhir permainan yang terikat keputusan 31 sama.

Namun percaturan bijak kapten pasukan Terengganu, Mohd Syahir Asraf Rosli membolehkan Terengganu menambah 3 mata melalui tendangan penalti menjadi tiket untuk layak ke pusingan akhir.

Terengganu dijadualkan bertemu Sabah pada perlawanan akhir Sabtu ini bertempat di Stadium Universiti Putra Malaysia.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan ini pernah bertemu di perlawanan akhir pada edisi 2014.