Monday, December 16, 2019
updated 4:24 AM UTC, Dec 16, 2019

Malaysia benam Indonesia 2-0 menerusi jaringan menarik Safawi Rasid

  • Published in Sukan

BUKIT JALIL - Impian jutaan rakyat Malaysia untuk melihat skuad Harimau Malaya meraih kemenangan menjadi kenyataan.

Dua jaringan cantik Safawi Rasid membantu Malaysia membenam seteru utama Indonesia 2-0 dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Safawi turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Dalam aksi di hadapan kira-kira 75,000  penyokong, skuad Harimau Malaya bermula dengan aksi tersusun dan menguasai perlawanan.

Bagaimanapun, skuad Garuda hampir menggegarkan gawang Malaysia menerusi Febri Hariyadi, namun percubaan jarak jauhnya tersasar ke atas palang pada minit keenam.

Febri sekali lagi berpeluang meletakkan Indonesia di hadapan apabila situasi satu lawan satu dengan Khairulazhan Mohd Khalid minit ke-20, menyaksikan penjaga gol negara mengalami kecederaan ketika menyelamatkan percubaan itu.

Akibat insiden itu ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe terpaksa membawa masuk Mohd Farizal Marlias untuk menggalas tugas menjaga gawang.

Malaysia akhirnya memecah kebuntuan apabila penyerang Safawi Rasid yang baru dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai 2019 menggegarkan jaring gol lawan menerusi sepakan percuma pada minit ke-29, yang melencong ke sudut kiri melepasi penjaga gol Muhammad Ridho.

Bersambung babak kedua, Malaysia mendapat beberapa peluang untuk menggandakan gol.

Antaranya menerusi rembatan Mohamad Syamer Kutty Abba yang menerima hantaran Norshahrul Idlan Talaha, namun tersasar ke atas pada minit ke-64, manakala rembatan Brendan Gan selang empat minit kemudian berjaya ditampan keluar Muhammad Ridho.

Safawi sekali lagi menggegarkan stadium menerusi jaringan minit ke-72 dengan melakukan rembatan kencang dari sudut kiri gol melepasi Muhammad Ridho untuk Malaysia mendahului 2-0.

Indonesia mendapat peluang keemasan untuk merapatkan jurang gol apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohd Farizal menjatuhkan Febri yang berjaya melakukan larian ke dalam kotak penalti pada minit ke-82, namun Mohd Farizal bertindak cemerlang untuk menyelamatkan sepakan penalti penyerang kelahiran Nigeria, Osas Marvellous.

Safawi mendapat dua peluang keemasan untuk melengkapkan hatrik, namun sepakan percumanya pada minit ke-84 dan percubaan jarak jauh dua minit kemudian tersasar.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menghuni tangga kedua kumpulan G dengan 9 mata selepas pertemuan antara Thailand dan Vietnam di Hanoi berkesudahan seri tanpa jaringan.

Manakala Indonesia terpaksa akur ‘terbenam’ di tangga tercorot Kumpulan G, tewas semua lima perlawanan.