Monday, July 13, 2020

updated 12:40 PM UTC, Jul 13, 2020

Program Ziarah Sahabat Penjara santuni petugas dan penghuni penjara

  • Published in Berita Semasa


SEREMBAN, 9 Mei - 
Petugas dan penghuni lima institusi penjara disantuni sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Program Ziarah Sahabat Penjara.

RM 19,000 diperuntukkan melalui Tabung Musaadah COVID-19 bagi menjayakan program berkenaan.

Program anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertujuan menyantuni petugas dan penghuni khususnya banduan akhir menerusi program motivasi serta sumbangan bekalan makanan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut sama turun padang ke Penjara Seremban bagi menyantuni 100 orang petugas berpendapatan B40 serta 900 banduan di penjara tersebut.

Datuk Dr Zulkifli optimis dan mendoakan penghuni di institusi berkenaan agar memperoleh keperibadian yang terbaik.

"Walaupun manusia sifatnya manusia, tetapi mempunyai dhomir dan naluri dan hati kecil yang sentiasa dibasahi dengan ingatan-ingatan terutamanya yang berkenaan dengan agama agar akhirnya ia menjadi lembut, berbekas dalam hatinya akhirnya dapat membentuk keperibadian yang kukuh, yang luhur yang terbaik. Insya Allah." 

Selain Penjara Seremban, empat lagi penjara terlibat program Ziarah Sahabat Penjara adalah Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang, Penjara Sungai Buloh, dan Maktab Penjara Malaysia.

Pengarah Penjara Seremban, Muhammad Nazri Nasrudin, mengalu-alukan kunjungan daripada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau menteri-menteri bagi menghargai penghuni di tempat berkenaan.

Manakala bagi Pegawai Penjara, Azwan Azaruddin menzahirkan perasaan gembira beliau atas bantuan yang telah diberikan.

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut memberi sumbangan makanan dalam program tersebut.