Wednesday, November 20, 2019
updated 12:18 PM UTC, Nov 20, 2019

Kelayakan AFC U19 : Malaysia berpesta gol

  • Published in Sukan

Skuad negara meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Kelayakan Kejuaraan AFC Bawah 19 2020 selepas membelasah Kepulauan Mariana Utara 10-0 di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh petang semalam.

Menerusi permainan itu, lensa tertumpu kepada Mohd Aiman Afif Mohd Afizul yang menjaringkan empat gol selepas melakukan hatrik pada perlawanan lalu.

Pemain berusia 18 tahun itu membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh selepas ledakkannya gagal dikawal penjaga gol, Jason Senobio Quimzon.

Selang dua minit kemudian, Hazim Abu Zaid menggandakan jaringan menerusi percubaan lambung cantik yang sekali lagi menghampakan Jason Senobio.

Ia disusuli jaringan ketiga hasil rembatan dari luar kawasan penalti diledakkan Muhammad Aidil Azuan dan Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim sebelum babak pertama tamat.

Bersambung babak kedua, barisan pemain negara terus tampil dengan lebih garang apabila berjaya menambah enam lagi jaringan yang dimulakan gol daripada Mohd Aiman Afif pada minit ke-46.

Skuad negara cemerlang menghadapi dua perlawanan dengan 21 gol dicipta tanpa sebarang gol dibolosi.

Bagaimanapun skuad B-18 tahun negara perlu bekerja keras pada aksi terakhir menghadapi Thailand Ahad ini.