Friday, December 13, 2019
updated 2:49 PM UTC, Dec 13, 2019

LIGA M3: Kelantan United seri 2-2 dengan Armed Force FC

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR - Bola sepak Liga M3 2019

Juara liga, Kelantan United sekadar mencatat keputusan seri 2-2 ketika menentang Armed Forces FC dalam aksi terakhir liga, malam tadi.

Aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu menyaksikan Kelantan United garang mencari gol pembukaan dengan banyak asakan ke kubu lawan.

Penyerang tinggi lampai Gassama Alfusainey hampir meletakkan Kelantan United di depan namun tandukannya sedikit tersasar ke kanan gawang.

Gol pertama perlawanan hadir seminit sebelum tamat babak pertama hasil tendangan deras Fakhrul Zaman Abdullag Zawai untuk Kelantan United mendahului 1-0.

2 minit selepas bersambung babak kedua, Kelantan United melebarkan kedudukan hasil gol kedua tandukan Faizol Nazlin Sayuti berpunca daripada tendangan sudut Mohd Badhri Mohd Radzi.

Memasuki minit ke 57, Armed Forces Fc berjaya mengurangkan defisit jaringan 1-2 apabila tandukan Mohd Hanafi Azizan meluru masuk ke gawang Kelantan United.

Kelekaan benteng pertahanan Kelantan United mengundang padah apabila Armed Force Fc berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi ketua pasukan, Venice Elphi minit ke-64, kedudukan itu kekal hingga wisel penamat.

Kelantan United yang telah dinobatkan sebagai juara pada 27 Oktober lepas, turut menerima trofi kejuaraan mereka malam tadi.

Ketua Jurulatih Kelantan United, Zahasmi Ismail berbangga dengan pencapaian cemerlang pasukannya yang membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan.

Saingan Liga M3 sebelum ini dikenali sebagai Piala FAM.